Pada 15 Mei 2015, saya telah berkesempatan untuk mengikuti satu pendakian membaiki pancar ulang bagi kelab Sahabat Keselamatan Tanah Merah Jeli (SKTMJ) di Bukit Kemahang. Saya telah bergerak bersama Pok Su (Peng. Chepa 06) dari Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu dalam jam 8 pagi ke Tanah Merah.
Setibanya di kawasan berkumpul iaitu di Telaga Bijih, kami telah diberikan sarapan. Saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan SKTMJ yang lain di sana seperti Pok Pa (PPC) dan ramai lagi.
Kami telah bergerak untuk memulakan pendakian dengan menaiki kereta pacuan empat roda. Terdapat lebih kurang 14 orang dalam kereta tersebut. Namun, faktor keselamatan tetap diutamakan. Penggunaan pacuan empat roda selama hampir 30 minit telah memudahkan dan juga menjimatkan masa perjalanan kami.
Kemudian, kami masih perlu meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki pula. Perjalanan menuju ke tempat terletaknya pancar ulang memakan masa lebih kurang 1 jam. Saya telah bergerak bersama Wek (Kelewek 11) sepanjang pendakian. Banyak yang ilmu yang saya pelajari dari beliau.
Kami tiba di puncak lebih kurang dalam jam 1 petang. Cuaca memang panas terik. Saya membantu untuk membawa bateri sebagai bekalan kuasa. Kemudian, saya hanya melihat kerja-kerja baik pulih dijalankan.
Semua rakan-rakan SKTMJ yang lain turut berkongsi cerita dan pengalaman. Sebelum jam 4 petang kami telah memulakan perjalanan turun kerana risau hujan yang akan turun. Hal ini adalah kerana perjalanan akan menjadi lebih mencabar dan berbahaya apabila hujan.
Tibanya di tempat mula-mula berkumpul, ramai rakan lain telah menunggu. Kami telah disajikan dengan makanan tengahari. Sebelum pulang saya dan Pok Su telah mandi dulu bagi membersihkan diri dan menyegarkan badan.