Gotong Royong Kawasan Banjir di Lembah Jaya

Pada 27/11/2021, saya telah menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan banjir di Kg Pinggir Tiga dan Kg Lembah Jaya Utara. Aktiviti bermula dengan semua petugas terlibat berkumpul di Dewan Lembah Jaya, Ampang. Untuk aktiviti pembersihan ini, saya telah menyertai di bawah kumpulan anggota pertahanan awam.

Pintu masuk Dewan Lembah Jaya.

Anggota pertahanan awam.

Kami telah berkumpul di dalam dewan lebih kurang pada jam 8 pagi sementara menunggu arahan seterusnya. Pada hari yang sama juga, berlangsung majlis pemberian sumbangan kepada keluarga yang terlibat dengan bencana banjir.

Suasana dalam dewan.

Sumbangan makanan dan barang kelengkapan rumah.

Lebih kurang jam 9 pagi, Kpt. (PA) Ruslan bin Lok telah sampai ke lokasi. Beliau telah bertanggungjawab untuk membahagikan tugas-tugas pembersihan di kawasan banjir. Selain anggota pertahanan awam, turut terlibat dengan program kali ini ialah pihak angkatan tentera Malaysia, anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan pegawai pejabat tanah.

Kpt. (PA) Ruslan bin Lok memberikan taklimat.

Setelah selesai taklimat, kami bergerak ke kawasan banjir dengan menaiki trak 5 tan kepunyaan pertahanan awam. Saya tetap berasa teruja apabila dapat menaiki trak ini walaupun bukan kali pertama. Hal ini adalah kerana saya pernah menaiki trak yang sama semasa berkursus di Jengka pada tahun 2019.

Lebih menambah keterujaan, apabila saya dapat duduk di bahagian dalam pemandu trak. Untuk masuk ke dalam, saya perlu memanjat empat anak tangga. Memang tinggi.

Bahagian dalam pemandu trak.

Perjalanan dari dewan ke tempat yang ditugaskan mengambil masa lebih kurang 5 minit. Trak tidak boleh bergerak laju memandangkan jalan sempit dengan kenderaan diletak di kiri dan di kanan jalan.

Pembersihan mengeluarkan lumpur dari longkang.

Kemudian, saya bergerak kembali ke dewan untuk program pemberian sumbangan. Saya menumpang kenderaan Hilux dengan berdiri di pemijak tepi. Satu pengalaman baharu juga buat saya.

Penulis.

Semasa di dewan, kerusi dan pentas telah siap disusun. Gegantung bersaiz besar juga dipasang bagi mengalukan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor. Beliau akan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Sementara majlis penyampaian sumbangan berlangsung, saya telah mengambil kesempatan untuk menunaikan solat zuhur. Alhamdulillah, terdapat ruang solat khas yang disediakan di belakang dewan.

Ruang solat.

Aktiviti pemberian sumbangan diteruskan lagi pada jam 3 petang sehingga lebih kurang jam 5 petang. Terdapat 5 buah kaunter disediakan bagi melancarkan program. Setiap keluarga diberikan duit dan barangan kelengkapan rumah.

Setelah tamat program, hujan telah turun dengan lebat diiringi guruh dan petir. Alhamdulillah lebih kurang jam 5 lebih, hujan mula reda. Jadi, kami pun mula bergerak balik ke rumah masing-masing.

Kursus Asas Pertahanan Awam

Pada 23/11/2021 hingga 24/11/2021 telah diadakan satu program iaitu Kursus Asas Pertahanan Awam Siri Khas Guru Penasihat Tuspa daerah Hulu Langat yang bertempat di UniKL MFI. Kursus ini disertai oleh 20 orang guru daripada 7 buah sekolah yang berbeza iaitu:

1. Sekolah Kebangsaan Ampang.

2. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang.

3. Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai.

4. Sekolah Kebangsaan Taman Muda.

5. Sekolah Kebangsaan Taman Tasik.

6. Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn.

7. Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran.

Kursus ini bermula pada jam 8 pagi hingga lebih kurang jam 5 petang sahaja. Aktiviti berkaitan teori dijalankan di Bilik Pameran 1 manakala aktiviti amali dijalankan di padang. Sepanjang kursus ini terdapat beberapa tajuk yang perlu dipelajari oleh peserta. Berikut ialah jadual kursus:

Program pada hari pertama bermula dengan penerangan tentang Akta Pertahanan Awam oleh Tn Azwan.

Setelah tamat slot pertama, slot seterusnya berkaitan asas pertolongan cemas yang disampaikan oleh Prebet Zainal Fitri.

Pada waktu petang, slot ketiga ialah berkaitan asas menyelamat yang merangkumi ikatan dan cara menyelamat usungan. Peserta diajar cara mengikat dan membawa mangsa yang betul semasa menggunakan pengusung.

Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan kawad kaki seawal jam 8 pagi. Aktiviti ini diadakan di padang UniKL selepas semua peserta selesai mengambil sarapan pagi.

Slot kedua kemudian diteruskan dengan aktiviti asas melawan kebakaran. Semasa slot ini, perserta didedahkan dengan cara mengendalikan hos air untuk memadam api. Mereka juga dapat merasai pengalaman membentang dan menggulung semula hos air yang panjangnya lebih kurang 100 kaki.

Penerangan tentang peralatan yang digunakan untuk memadam kebakaran.

Aktiviti membentang hos air.

Slot terakhir bagi kursus asas ini ialah sesi ujian bertulis. Semua peserta perlu menjawab soalan yang berkisar semua tajuk yang telah dipelajari sepanjang 2 hari. Tempoh masa selama 1 jam diberikan untuk menjawab.

Akhirnya, kursus ini ditamatkan dengan majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh Kapt. (PA) Ruslan bin Lok, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Hulu Langat.

Ucapan wakil peserta oleh En Abdul Aziz.

Program Bantuan Pasca Banjir

Pada 21 Januari 2016, saya bersama lagi 2 orang rakan iaitu Abd Rahim dan Arif Fahmi telah menyertai satu program bantuan pasca banjir yang dianjurkan oleh Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia. Sebelum program bermula, kami telah berkumpul di Mydin Kubang Kerian.

Program ini sebenarnya telah dimaklumkan oleh En Hishamudin Jamiran iaitu pensyarah di IPG Kampus Kota Bharu. Beliau menjemput mana-mana guru pelatih yang berkelapangan untuk menyertai program bantuan ini. Berikut ialah rekod perjalanan program:

Continue reading Program Bantuan Pasca Banjir