Bayyan Lil Mar’ah: Mutahayyirah

Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji memerikan istilah haid sebagai darah yang keluar pada waktu yang normal dan dalam keadaan sihat. Justeru, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan yang normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid dan dianggap sebagai darah fasad atau darah istihadah. 1 Walau bagaimanapun, data kajian menunjukkan terdapat ramai lagi wanita yang masih keliru untuk membezakan antara darah haid dan istihadah.  Mereka juga tidak memahami kaedah pengiraan tempoh suci dan tempoh haid. 2 Individu wanita yang lupa kadar dan waktu haidnya dipanggil ‘mutahayyirah’. Sekiranya dia juga tidak mampu membezakan sifat darah ia dipanggil ‘mutahayyirah’ mutlak. Individu ini wajib berhati-hati kerana setiap waktu yang ia lalui dimungkinkan terjadi haidh dan suci. 3 Selain itu, kita tidak mungkin menghukuminya suci selamanya. Dengan demikian yang wajib baginya adalah berhati-hati kerana darah yang keluar, boleh jadi itu ialah darah haid atau istihadah yang mempunyai implikasi hukum ibadat yang berbeza.

Oleh yang demikian, wanita perlu mengambil berat terutamanya ketika kali pertama mereka didatangi darah bagi menentukan bahawa darah tersebut ialah darah haid. Permulaan haid bagi seorang wanita sekurang-kurangnya ialah ketika berumur sembilan tahun qamariah iaitu mengikut perkiraan tahun hijrah. Walaupun begitu, jika seseorang wanita didatangi darah sebelum genap sembilan tahun tetapi masih dalam tempoh kurang daripada enam belas hari sebelum usianya genap sembilan tahun, maka ia dikira sebagai darah haid. 4 Wanita pertama kali mengalami haid yang dipanggil ‘mubtadaah’ ini apabila mendapati darah di farajnya itu datang tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu 24 jam dan tidak juga melebihi tempoh maksima hari haid iaitu 15 hari, maka darah tersebut adalah darah haid tidak kira apa warna darahnya.

Semasa darah datang dan belum sampai tempoh minimanya haid, maka seseorang wanita hendaklah mengambil langkah dengan menganggapnya sebagai darah haid dan dia wajib menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang semasa haid. Wanita itu perlu juga memerhatikan perbezaan terhadap sifat darah yang keluar tersebut. Darah yang keluar mempunyai 3 sifat iaitu warna, kental dan bau busuk, dianggap lebih kuat daripada darah yang mempunyai 2 sifat. Dan darah yang mempunyai 2 sifat lebih kuat daripada darah yang mempunyai 1 sifat. Apabila kedua-dua darah mempunyai sifat yang sama atau seperti hitam cair dan merah kental, maka darah yang dihukumi haid adalah darah yang keluar dahulu. 3 Wanita yang mampu membezakan mana satu darah yang kuat dan darah yang lemah dan menepati 4 syarat ‘tamyiz’ dipanggil ‘mumayyizah’: 5

1. Darah yang kuat keluar tidak kurang daripada tempoh minima haid.

2. Darah yang kuat keluar tidak lebih daripada tempoh maksima haid.

3. Darah yang lemah keluar tidak kurang daripada tempoh maksima haid.

4. Darah yang lemah keluar berterusan dan tanpa berselang dengan darah kuat.

Sepanjang tempoh haid tersebut, wanita dilarang melakukan ibadat tertentu. Namun, terdapat pendapat ilmuan islam yang mengharuskan wanita untuk memegang al-Quran dan membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. 6 Ianya kerana kebiasaan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama iaitu 6 atau 7 hari. Jika mereka dilarang membaca al-Quran, maka dibimbangi hafazan al-Quran mereka akan terluput. Pendapat ini membolehkan pembudayaan al-Quran diterapkan dalam kehidupan pada setiap masa.

Langkah seterusnya ialah mengenal pasti sama ada darah haid tersebut sudah betul-betul berhenti iaitu dengan memasukkan kapas atau seumpamanya ke bahagian faraj yang tidak wajib dicuci ketika istinjak dan hanya kelihatan ketika mencangkung. Sekiranya didapati pada kapas tersebut masih terdapat kesan, maka dia masih berada dalam keadaan ‘fatrah’ haid. Namun sekiranya dia tidak mendapati warna darah, maka dia sebenarnya berada dalam keadaan ‘naqo’ iaitu bererti bersih daripada darah haid. Namun, sekiranya seseorang wanita itu memiliki adat ‘muwaadah’ al-dam yakni darah haidnya keluar kemudian berhenti kemudian datang kembali tetapi cukup sehari semalam. Maka wanita itu mengambil hukum haid kerana secara zahirnya masih berhaid kerana mengikut adatnya. Justeru dia tidak perlu mandi lagi sewaktu berlakunya ‘intiqita’ itu. 6

Tempoh masa suci seseorang wanita sebelum datang haid seterusnya ialah tidak kurang dari 15 hari. Jika haid wanita itu mencapai tempoh maksima selama 15 hari, maka dalam masa 15 hari seterusnya jika datang darah baharu kepadanya maka itu bukan darah haid, malah itu ialah darah istihadah. Dia tidak perlu mandi wajib untuk solat dan melakukan ibadat lain, malah memadai dengan berwuduk setelah dibersihkan bahagian kemaluan dan tubuh badannya yang terkena najis terlebih dahulu. 4 Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bagi wanita itu untuk mengambil berat berkaitan tarikh dan masa dia mula suci daripada darah haid agar tidak tergolong dalam golongan wanita ‘mutahayyirah’. Maka, amat digalakkan setiap wanita menyediakan buku khas untuk mencatat tarikh datang dan tarikh berhentinya supaya mudah untuk menguruskan haid-haid yang seterusnya.

RUJUKAN

1 Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2018). Irsyad al-Fatwa #226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid. Diambil dari pada 10 April 2019.

2 Noraini Ismail, Che Latifah Ismail, Siti Fatimah Sudin, Sharifah Isa & Ryusda Bakri. (2016). Kefahaman Pelajar Terhadap Fiqh Thaharah (Permasalahan Darah Wanita): Tinjauan Di UiTM Cawangan Perlis. e-Proceeding of the 3rd International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization ICASIC 2016. 14-15 March 2016, Kuala Lumpur, Malaysia.

3 Fiqh Kewanitaan. (2014). Diambil dari pada 10 April 2019.

4 Muhammad Ramzi Omar. (2017). Persoalan Haid, Nifas & Istihadah. Selangor: Pustaka Ilmuwan.

5 Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2018). Al-Kafi #685: Darah Istihadah Mengikut Tamyiz Atau Adat?. Diambil dari pada 10 April 2019.

5 Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2015). Irsyad al-Fatwa #18: Hukum Membaca Dan Mengulang Hafazan Al-Quran Dalam Keadaan Haid. Diambil dari pada 10 April 2019.

6 Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2018). Al-Kafi #690: Melewatkan Mandi Wajib Kerana Menunggu Darah Haid Habis Keluar. Diambil dari pada 11 April 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *