Pada 19/12, saya telah berusaha membina satu lagi antena untuk dipasang di base saya. Antena tersebut ialah antena Moxon. Para pembaca boleh mencari ukuran bagi antena tersebut dengan hanya menaip ‘Moxon Calculator’.
Rajah 1: Kiraan yang saya gunakan.
Bahan:
1. Paip Elektrik 20 mm.
2. Wayar elektrik 14 gauge.
3. Pengikat wayar.
Bagi projek ini, saya menggunakan paip elektrik. Kos keseluruhan adalah lebih kurang RM20 sahaja. Paip yang saya gunakan adalah bersaiz 20 mm. Jadi ukuran batang paip seperti rajah 2 yang saya nyatakan mungkin adalah berbeza jika anda mengguna saiz yang berlainan.
Rajah 2: Ukuran bagi batang paip.
Sama mula membuat antena selepas waktu Asar dan menyambungnya semula selepas waktu Isyak. Tempoh pembinaan agak lama, memandangkan kali pertama saya membuat antena ini.
Rajah 3: Rangka antena yang telah siap dipasang.
Pemasangan wayar:
1. Sila rujuk rajah 1 dan rajah 2.
2. Bagi wayar di sebelah ‘Reflector’, ia akan mula dipasang dari hujung bahagian C (Rajah 1). Kemudian ditarik melalui penyambung A sehingga ke bahagian yang satu lagi.
3. Bagi wayar di sebelah ‘Driven Element’, saya akan memasang pengikat wayar terlebih dahulu pada hujung wayar.
4. Kemudian, pengikat wayar tersebut akan diletakkan tempat bertanda B. Selepas itu ditarik sehingga ke penghujung bahagian B (Rajah 1). Perkara yang sama dilakukan bagi bahagian yang satu lagi.
Penyambungan ‘Fed point’:
1. Bagi ‘Fed point’ antena tersebut, jarak antara kedua-dua adalah lebih kurang dalam 1 cm sahaja (Rajah 4).
2. Teras kabel RG-58 akan disambung pada salah satu sambungan sama ada di B atau C.
3. Braid pula akan disambung pada bahagian yang satu lagi.
Rajah 4: Penyambungan ‘Fed Point’.
Selepas pemasangan ‘Fed Point’ tersebut, saya telah membuat ‘RF Choke’ dengan melilit kabel RG-58 sebanyak 9 pusingan pada batang paip.
Rajah 5: Antena Moxon yang telah siap.
Kemudian tiba masa uji pancar. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya memancar ke pancar ulang Genting (9M4RGH) dan pancar ulang RAKL (9M4RZS). Semasa memancar, saya hanya menggunakan handy dengan kuasa 5 watt dan ketinggian antena adalah 5 kaki dari paras bumi.
Hasilnya, rakan-rakan di 9M4RZS berjaya mendengar saya dalam R4. Bagi di 9M4RGH, rakan-rakan pula dapat mendengar audio saya dalam R3. Seterusnya, bacaan SWR pula adalah antara 1:4 hingga 1:8.
Ahkhirnya, selamat mencuba untuk membina antena ini. Semoga bermanfaat. Segala cadangan dan pembetulan amat dialu-alukan.
Nota:
1. Apabila dinilai semula, saiz wayar yang saya tetapkan pada ‘Moxon Calculator’ adalah silap.
2. Hal ini menyebabkan nilai SWR selalunya berada pada nilai 2 apabila memancar di julat frekuensi amatur bagi 2m iaitu antara 144 MHz – 148 MHz.
3. Jadi, sekiranya anda ingin membina antena moxon ini dengan menggunakan wayar elektrik biasa, sila konfigurasikan saiz wayar kepada 12 AWG. Pertukaran ini akan menyebabkan kiraan berkaitan potongan paip elektrik yang saya buat pada rajah 2 akan berubah sedikit.