Antena 40m Double Bazooka

Pada 9 September 2017, saya telah berkesempatan untuk membina satu antena untuk digunakan di 7 MHz. Antena tersebut ialah antena ‘double bazooka’. Saya telah merancang untuk membina antena ini beberapa bulan yang lalu lagi tetapi hanya baru sekarang mempunyai masa yang terluang. Pertamanya terima kasih kepada Abg Affandy, 9W2IDF kerana telah menghadiahkan saya kabel TV untuk dibuat antena ini.

Berikut ialah bahan-bahan yang saya gunakan:

1. Penyambung SO-239

2. Kabel TV.

3. Wayar elektrik 1.5 mm.

Kabel TV.

Mulanya, pengiraan perlu dibuat terlebih dahulu untuk mengetahui panjang keseluruhan antena, panjang bahagian tengah dan panjang ekor antena. Namun perlu diingatkan bahawa perkiraan yang dibuat ialah dalam ft dan inc. 1 ft bersamaan 12 inc. Perkiraan yang dibuat perlu tepat bagi memastikan antena ‘double bazooka’ yang dibuat dapat berfungsi dengan efektif.

Panjang Penuh:

460/7.1

= 64.7887324 ft

0.7887324 x 12

= 9.4647888 inc

Jumlah: 64 ft 9 inc

Panjang Penuh/ 2:

460/7.1/2

= 32.3943662 ft

0.3943662 x 12

= 4.7323944

= 5 inc

Jumlah: 32 ft 5 inc

Panjang Tengah:

325/7.1

= 45.7746479 ft

0.7746479 X 12

= 9.2957748 inc

Jumlah: 45 ft 9 inc

Panjang Tengah/ 2:

325/7.1/2

= 22.8873239 ft

0.8873239 x 12

= 10.6478868

= 11 inc

Jumlah: 22 ft 11 inc

Panjang Ekor:

32 ft 5 inc – 22 ft 11 inc

= 9 ft 6 inc

Nota: Walau bagaimanapun terdapat perkiraan semula bagi bahagian ekor. Saya mendapati panjang yang lebih tepat ialah 3 m 10 cm sekiranya anda menggunakan kabel TV dan wayar elektrik 1.5 mm. Apabila antena ini di ‘tune’ menggunakan ‘tuner’, hasilnya ialah nilai SWR di bawah 1.2 bermula dari 7 MHz – 7.2 MHz. Suatu nilai jarak yang lebar iaitu 2 kHz.

Jika anda melihat perkiraan yang saya buat, semua jawapan ft yang mempunyai titik perpuluhan ditukar kepada jumlah inci yang sebenar. Saya telah jadikan frekuensi 7.1 MHz sebagai titik rujukan. Perkara pertamanya ialah memotong bahagian tengah antena yang panjangnya perlu 45 ft 9 inc. Tempat yang perlu dipotong ialah pada titik tengah iaitu 22 ft 11 inc. Potongan yang dibuat mesti hanya pada bahagian pelindung luar kabel sahaja. Jarak 2 inc kiri dan kanan dari titik tengah ditanda. Semasa potongan dibuat, perlu dipastikan bahagian pelindung dalam tidak terputus.

Potongan bahagian tengah.

Kemudiannya, ambil bahagian ‘braid’ dari kira dan kanan tadi untuk disambungkan dengan penyambung SO-239. Perlu diingatkan bahagian pelindung konduktor jangan dipotong. Satu bahagian dari ‘braid’ disambung pada tengah penyambung SO-239 dan satu bahagian lagi disambung pada ‘ground’. Sekiranya ‘braid’ tadi tidak cukup panjang, anda boleh membuat sambungan wayar lain.

Penyambungan ‘fed point’.

Kemudiannya, potongan untuk bahagian ekor dibuat dengan ditanda 2 inc dari hujung. Pada 1 inc pertama, bahagian pelindung luar dan pelindung konduktor akan dibuang. Pada 1 inc kedua, hanya bahagian pelindung luar dibuang. Sila pastikan ‘braid’ tidak terputus.

Hujung bahagian tengah.

Seterusnya ialah penyambungan ekor. Bagi bahagian ini, saya menggunakan wayar elektrik 2 mm dengan kepanjangan 9 ft 6 inc bagi setiap sebelah antena. Penyambungan ekor dibuat dengan menyambung wayar elektrik tadi dengan ‘braid’ dan konduktor dari kabel TV.

Penyambungan bahagian ekor.

Kemudiannya, perkemaskan sambungan dan balut mana-mana bahagian yang terdedah untuk melindungi antena dari air hujan. Panjang keseluruhan antena ‘double bazooka’ ini ialah 64 ft 9 inc. Jika anda melihat semula, pada setiap sambungan bahagian saya menggunakan paip elektrik dan penyambung paip. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan tekanan diberikan pada sambungan yang boleh menyebabkan kabel antena terputus.

Antena ‘double bazooka’.

Akhirnya ialah sesi uji pancar. Saya mendapati antena jenis ini kurang ‘noise’ jika dibandingkan dengan antena dipole yang biasa. Saya telah mendapat maklum balas dengan nilai 48 dari rakan amatur Indonesia iaitu YD7DWW dan YD6EIK apabila memancar dengan hanya 20W. Nilai SWR pula ialah dalam lingkungan 1.5 sehingga 3 sahaja bagi frekuensi 7.0 – 7.2 MHz.

Antena ‘double bazooka’.

Jadi saya galakkan anda untuk mencuba pula. Kos keseluruhan untuk membina antena ini tidak melebihi RM50. Semoga berjaya dan bermanfaat. Salam sayang, 9W2ZOW.

Rujukan luar:

1. Build a Double Bazooka Antenna.

2 thoughts on “Antena 40m Double Bazooka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *