Cara-cara Mempopularkan Permainan Tradisional

Pengakuan: Esei ini bukan dikarang oleh penulis. Penulis hanya berkongsi semula penulisan ini dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur. Kredit diberikan kepada penulis asal.

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga negara kita mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan lenyap di bumi kita ini? Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh. Oleh itu, prakarsa untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat permainan tradisional ini.

Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional ini di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan sebagainya. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta lantaran itu, golongan muda pasti menghargai dan berminat terhadap permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional seperti Kelab Wau Bulan, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan syarat-syarat permainan. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Hakikatnya, generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional pasti dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan maka atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah yang sangat bermanfaat.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk mempopularkan permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana, sebagai fitrah manusia memang suka bertanding dan berlaga. Seterusnya agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Malaysia boleh bergabung dengan badan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, sambil menyelam minum air.

Sebagai intiha bicara, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi untuk mempopularkan permainan tradisional ini agar dapat dilestarikan sampai bila-bila dan menjadi satu alat permainan yang mesti dimainkan oleh generasi pada masa akan datang.

16 thoughts on “Cara-cara Mempopularkan Permainan Tradisional

  1. Karangan yang bagus. Boleh saya kongsi karangan ini sebagai rujukan? Terima kasih atas kerjasama yang diberikan.

        1. Maaf, saya pun tidak pasti dari mana saya dapatkan karangan ini. Saya sudah buat pengakuan di atas artikel ini bahawa esei yang dikongsi oleh saya ini bukan karangan saya. Kredit dan penghargaan diberikan kepada penulis asal.

          Terima kasih atas pertanyaan.

  2. Terima kasih. Karangan ini amat membantu. Karangan ini menarik, tidak terlalu panjang dan penuh dengan isi-isi yang mendatangkan markah. Karangan ini juga senang untuk dibaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *