Isteri Saya (Rahsia)

Assalamualaikum pembaca semua. Kali ini saya ingin berkongsi kisah dan cerita serba sedikit tentang isteri saya. Penulisan ini saya karang khas sempena ulang tahun perkahwinan yang pertama. Sebelum itu, jemput baca juga artikel lama yang saya tulis berkaitan hasrat dan ciri-ciri bakal isteri yang saya cari. Sila baca di sini. Artikel bertajuk “My Future Wife” yang saya tulis pada tahun 2014 tersebut adalah ketika saya berada di semester 1 untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, saya telah direzekikan dengan seorang isteri yang berjaya menawan hati saya. Seorang wanita yang menjadi penyejuk mata saya. Kisahnya bermula pada tanggal 1 Disember 2018, pada waktu itu saya berada di Machang, Kelantan kerana terlibat dengan perbentangan kertas Kajian Tindakan. Pada hari tersebut, tiba-tiba mesej masuk melalui WhatsApp. Soalan yang ditanya adalah ringkas tetapi membuatkan saya tertanya-tanya.

Salam. Ini Zakwan ke? Saya mahu kenalkan dengan seseorang.

Saya mulanya terdiam. Sama ada mahu memberikan respon terhadap mesej diterima atau mengabaikannya. Namun, Allah detikkan hati ini untuk membalas kerana memang sudah niat dan harapan saya, setelah menamatkan pengajian di institut pendidikan guru, barulah saya akan memberikan fokus untuk hal jodoh. Maka, apa jawapan saya terhadap mesej individu tadi?

Ya, saya Zakwan. Ini siapa?

Maka, bermulalah kisah saya berkenalan dengan si dia. Saya boleh katakan isteri saya ini, pada permulaan perkenalan adalah seseorang yang amat berahsia. Apabila mengingat semula, mahu tergelak pun ada. Antara kisahnya, saya tidak pernah mengetahui wajah sebenar isteri saya. Gambar pertama yang dihantar kepada saya apabila diminta, ialah sekeping gambar tetapi dengan wajahnya dikaburkan. Boleh anda bayangkan perasaan saya pada masa tersebut?

Seingat saya, setelah hampir 1 bulan lebih, barulah saya menerima sekeping gambar yang menampakkan wajah isteri saya dengan jelas. Satu lagi kisah berahsia isteri saya ialah tentang nama sebenar dia. Masih tersemat rapi di minda saya, tidak saya lupakan peristiwa yang bagi saya merupakan satu tangga menuju ke gerbang perkahwinan. Setelah berkenalan hampir beberapa bulan, saya hanya tahu nama sebenar isteri saya pada tanggal 9 Ogos 2019. Itupun melalui mulut bakal ayah mentua saya.

Salam, Wan. Nanti tolong Nur Faizah ya.

Padahal saya pernah mengirimkan beberapa barang kepada dia sebelum tarikh tersebut. Rupanya, saya mengirim dengan nama penerima yang bukan sebenar. Nasib baik saya tidak bertanya semula pada bakal mentua saya, siapa Faizah. Mahu tergelak pun ada. Apapun saya fikir pasti ada sebab disebalik tindakan isteri saya tersebut.

Begitulah 2 kisah ringkas tentang isteri yang bersifat perahsia pada mula perkenalan kami. Saya lihat bahawa isteri saya hanyalah mahu melihat sejauh mana kepercayaan dan keyakinan saya terhadap dia. Saya tidak marah tindakan dia berahsia. Bagi saya, saya boleh lihat terdapat peringkat hubungan kepercayaan antara saya dan isteri saya dibina. Pada peringkat pertama, kedua dan hingga ke hari ini. Saya juga melihat, bahawa apa yang dia lakukan ini juga adalah sebagai persediaan untuk kami berdua nanti selepas perkahwinan.

Perkara yang ingin ditekankan ialah hubungan perlu dibina atas rasa percaya dan yakin antara satu sama lain. Seterusnya, perlu wujud ketelusan dan kejujuran dalam berinteraksi. Alhamdulillah setelah berkahwin dengan isteri saya, sayalah yang menjadi penyimpan rahsia dia. Sifat rahsia yang ditunjukkan sebelum berkahwin adalah kerana saya bukan lagi suami dia yang sah. Jadi memang patut dia berahsia.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-1 genap pada tanggal 11 Zulhijjah ini kepada isteri solehah saya, Nur Faizah Mohd Zainuddin. Terima kasih benarkan suami ini menjadi penyimpan rahsia isteri comel. I love you so much my sweetheart.

Nantikan kisah “Isteri Saya” yang seterusnya.