Cara Memasang Mobile Radio

Pada 29 November 2015, saya telah pergi berjumpa dengan Abg Aimil (9M2AUR) bagi membeli mobile radio. Saya telah bergerak dari rumah dalam jam 8.30 pagi dan tiba di tempat yang dijanjikan lebih kurang jam 9.15 pagi. Kami telah berjumpa di Restoran al-Sabiha yang berada di belakang Giant.

Pergi ke Taman Equin, Seri Kembangan.

Saya telah membeli ICOM-2300H dengan harga RM630. Walaupun, harganya agak mahal tetapi ia tetap berbaloi. Abg Aimil banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat yang sangat berguna. Jadi sekarang saya akan kongsikan cara saya memasang mobile radio tersebut di kereta saya. Cara yang saya kongsikan mungkin terdapat kekurangan dan kelemahan memandangkan ini adalah kali pertama saya memasang radio.

Jadi, tolong perbetulkan saya jika saya silap. Saya akan memasang radio tersebut di dalam kereta jenis Perodua Kancil.

Pertamanya, saya perlu mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan radio tersebut. Memandangkan kereta Kancil adalah kereta yang kecil dan tidak mempunyai ruang yang banyak, jadi saya berpendapat tempat yang paling sesuai untuk meletakkan radio adalah di bawah tempat radio kereta dan di hadapan gear.

Tempat yang sesuai.

Masalahnya, macam mana saya mahu meletakkan radio tersebut? Saya cuba mencari tempat untuk menebuk lubang tetapi tiada yang sesuai. Jadi, saya mendapat idea bahawa saya boleh membuat tempat khas bagi radio baharu tersebut. Cuma saya tidak pasti sama ada kotak tersebut akan dibuat dari kayu atau bahan lain. Akhirnya, saya menggunakan kotak terbuang.

Kotak radio dari kotak terbuang.

Seterusnya, saya perlu mencari jalan untuk membawa wayar kuasa dari radio ke bateri. Saya tidak galakkan anda membawa wayar anda melalui pintu kerana ia akan terhimpit apabila setiap kali pintu ditutup. Lambat-laun wayar tersebut boleh rosak.

Wayar melalui grommet di sisi kereta.

Keluar di lubang berdekatan dengan bateri.

Seterusnya, saya perlu sambungkan wayar ke terminal bateri. Sebelum itu, saya perlukan crimp ring. Saya telah dapatkannya di kedai aksesori kereta. Hujung wayar kuasa telah dipateri dengan crimp ring yang saya beli tadi bagi memastikan pengaliran yang lebih baik.

Hasil penyambungan.

Kemudian, menyambung wayar antena ke radio. Saya telah menggunakan antena jenis Larsen yang berukuran hampir 5 kaki panjang. Antena tersebut telah diletakkan di sebelah kanan belakang kereta saya.

Antena.

Seterusnya, saya membeli wayar untuk membuat grounding bagi sistem radio yang saya pasang. Saya telah menggunakan wayar elektrik yang diikat dari antena terus ke badan kereta.

Sistem ‘Grounding’.

Sayangnya, saya tidak mempunyai SWR meter untuk membuat pengujian. Akhirnya, masa untuk menghias kotak radio yang saya cipta supaya kelihatan lebih kemas.

Hasil akhir!

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abg Aimil (9M2AUR) atas tunjuk ajar dan nasihat sepanjang saya memasang radio ICOM-2300H ini. Sila kongsikan cara anda memasang radio pula. Sebarang cadangan, komen atau penambahbaikan amat dialu-alukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *