Doa Hari Lahir

Ya Allah, kami panjatkan kesyukuran kepada Mu di atas kurniaan nikmat ihsan dan rahmat Mu yang Kau berikan kepada kami. Di hari ini kami zahirkan dengan penuh kehambaan. Kami amat bersyukur di atas pemberian dan kurniaan Mu kepada kami hamba Mu yang kerdil ini diberi nikmat kehidupan yang tidak ternilai dengan anugerah yang sangat banyak nikmatnya.

Ya Allah! Ya Tuhan kami, bersempena dengan hari lahir pada hari ini, kami bermohon agar dilimpahkan berkat dan rahmat Mu kepada kedua ibu bapa kami yang kami sayangi ini. Kerana telah melahirkan kami ke dunia ini dan membesarkan kami tanpa diminta balasan sehingga kami menjadi orang yang berguna serta berjaya sehingga ke saat ini.

Ya Allah, Kau gantikanlah setiap kesakitan dan setiap titisan darah ibu yang telah melahirkan kami kepada nikmat yang tidak terhingga. Gantikanlah juga setiap penat lelah dan segala keperitan seorang ayah yang telah bersusah payah kerana membesarkan kami dengan nikmat yang berpanjangan. Ya Allah Ya Tuhan kami, Kau kurniakanlah keberkatan dan rahmat Mu kepada kedua ibu dan ayah kami sebagaimana mereka yang telah menyayangi kami dengan penuh keikhlasan sejak dari dalam kandungan lagi.

Ya Allah Ya Tuhan kami, jika kedua-dua ibu dan ayah kami telah menyahut panggilan Illahi buat selama-lamanya, jadikanlah alam kubur mereka seperti mana sebahagian taman-taman syurga Mu yang indah itu nanti. Berikanlah mereka kesenangan, keindahan, kedamaian berserta ketenangan dengan penuh lapang tanpa sebarang kesulitan ketika mereka sedang bersemadi.

Ya Allah, pimpinlah kami dengan taufik dan hidayah Mu ketika kami sedang meniti usia yang kini semakin dewasa dan tua, supaya kami tidak tersesat dan terpesong akidah. Tidak rosak akhlaknya dan tidak melanggar syariat Islam. Bimbinglah kami supaya menjadi hamba Mu yang bersyukur sentiasa biarpun nikmat yang diberikan begitu sedikit.

اَللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمُورَنَا وَصَحِّحْ أَجْسَادَنَا وَنَوِّرْ قُلُوْبَنَا وَثَبِّتْ إِيْمَانَنَا وَأَحْسِنْ أَعْمَالَنَا وَوَسِّعْ أَرْزَقَنَا وَإِلَى الخَيْرِ قَرِّبْنَا وَعَنِ الشَّرِّ اَبْعِدْنَا وَاقْضِ حَوَائِجَنَا فِى الدِّيْنِ وَالدُّنْيَا وَالۤاخِرَةِ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيْرٌ

Ya Allah panjangkanlah umur kami, sihatkanlah badan kami, terangilah hati kami, kuatkanlah hati kami, baikkanlah amal kami, luaskanlah rezeki kami, dekatkanlah kami dengan kebaikan dan jauhkanlah kami dengan kejahatan. Kabulkanlah semua permintaan kami dalam agama sama ada di dunia ataupun di akhirat. Sesungguhnya hanya Engkaulah Yang Maha Kuasa atas segala-galanya.

اَللهُمَّ اِنَّا نَسْأَلُكَ سَلاَمَةً فِى الدِّيْنِ وَعَافِيَةً فِى الْجَسَدِ وَزِيَادَةً فِى الْعِلْمِ وَبَرَكَةً فِى الرِّزْقِ وَتَوْبَةً قَبْلَ الْمَوْتِ وَرَحْمَةً عِنْدَ الْمَوْتِ وَمَغْفِرَةً بَعْدَ الْمَوْتِ

Ya Allah, kami memohon kepada-Mu keselamatan dalam agama, dan kesejahteraan pada tubuh dan tambahan ilmu, dan keberkatan rezeki, serta taubat sebelum meninggal dan rahmat di waktu meninggal dan ampunan setelah meninggal.

Leave a Reply

Your email address will not be published.