Jakarta DX

Pada 13 Mei 2017, saya telah mengambil peluang untuk merasai pengalaman menyertai pertandingan DXing. Pertandingan yang saya maksudkan ialah Jakarta DX Contest dan ia telah diadakan di Lopo Blue Resort. Sebuah chalet telah disewa khas bagi program ini oleh Kelab Selangor DX.

Chalet yang disewa.

Chalet yang disewa.

Perkara pertama yang saya pelajari bagi menyertai pertandingan DX ialah individu itu perlu membaca dan memahami peraturan yang telah ditetapkan. Sila layari laman ini bagi melihat peraturan-peraturan bagi Jakarta DX. Ringkasnya, pertandingan ini dijalankan selama 12 jam secara perseorangan di frekuensi 40m sahaja.

Individu yang akan menyertai pertandingan ini ialah Firdaus dengan panggilan 9M2EEE. Sementara saya dan 2 orang rakan radio lagi iaitu Abg Nazri, 9W2NDQ dan Pak Rosli, 9M2RHQ pula membantu beliau dari segi penyediaan tempat, kelengkapan radio dan lain-lain.

Saya telah tiba di chalet tersebut lebih kurang pada jam 6 petang. Setibanya saya disana, kami terus membuat persiapan memasang antena jenis menegak. Antena tersebut dipanggil ‘Tiang Sebatang’. Peralatan radio ditempatkan di bawah chalet kerana di situ terdapat meja dan hampir dengan antena yang dipasang. Kabel yang digunakan ialah RG8.

Pemasangan antena ‘Tiang Sebatang’.

Antena ‘Tiang Sebatang’ yang siap.

Perkara penting yang saya pelajari ialah Pak Rosli mengingatkan bahawa perlunya dipastikan antena tersebut sentiasa lurus. Ianya supaya pancaran yang keluar dari antena tersebut berada pada tahap sekata. Walaupun kelihatan mudah, ia memakan masa dan memerlukan sehingga 4 orang untuk menaikkan antena ‘Tiang Sebatang’ tersebut. Seterusnya bagi pembumian pula, Pak Rosli mengatakan hanya ikat wayar bumi tersebut dengan batu dan campak di parit yang berada di belakang chalet. Ianya mudah dan paling efektif. Setelah antena siap dipasang, maka langkah seterusnya ialah menyiapkan peralatan radio untuk memancar.

Seterusnya, perkara yang penting semasa pertandingan ialah perlunya kepada log yang bagus untuk mencatat individu yang berjaya kita hubungi. Maka, bagi pertandingan Jakarta DX ini, perisiaan N1MM Logger telah digunakan. Selain aktiviti DXing, aktiviti membakar burger daging turut dibuat bagi memeriahkan suasana. 3 bungkus burger daging Ramly telah disajikan buat kami semua. Sementara itu Pak Rosli pula pergi memancing di kolam yang berdekatan dengan chalet.

Pemandangan waktu malam.

Setelah jam hampir menunjukkan 4 pagi, kami semua tidak dapat menahan keinginan untuk meletakkan kepala di atas bantal. Maka, tamat pertandingan Jakarta DX dengan hasil sebanyak 22 individu dari beberapa buah negara yang dapat dihubungi dan saling bertukar maklumat yang dikehendaki bagi mematuhi syarat pertandingan.

Antena ‘Tiang Sebatang’.

Pada pagi harinya, kami mula mengemas semula barang-barang. Lebih kurang jam 9.30 pagi, kami mula bergerak menuju ke kedai di Taman Sentosa, Batu 16, Dusun Tua untuk sarapan pagi. Semasa sarapan, kami berbincang tentang tempat untuk aktiviti DXing yang seterusnya. Terdapat juga beberapa perkara lain yang dikongsi bagi kebaikan aktiviti radio amatur di Malaysia.

Selesai sarapan pagi, kami semua bergerak ke destinasi masing-masing. Mudah-mudahan aktiviti seperti ini akan dapat memberikan peluang kepada ahli radio untuk menimba ilmu, menguji kemahiran dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di lapangan sebenar.

Akhirnya, ucapan terima kasih kepada semua ahli Kelab Selangor DX yang walaupun tidak dapat hadir tetapi tetap memberikan sokongan penuh kepada kami semua. Ucapan terima kasih juga kepada semua individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan pertandingan Jakarta DX ini. Jasa anda amat dihargai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *