Kejohanan Olahraga Para Sirkit 1

Pada 17 – 18 Februari 2017, telah diadakan Kejohanan Olahraga Para Sirkit 1 di Kompleks Sukan Panji, Kelantan. Hal ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan yang peserta daripada kalangan individu kelainan upaya. Suatu pengalaman baharu yang tidak akan dapat dilupakan.

Pembahagian peserta juga adalah berbeza iaitu mengikut jenis atau tahap kecatatan. Kejohanan itu diadakan bagi melihat prestasi para atlet. Ianya lebih kepada latihan persediaan bagi Sukan SEA Paralimpik 2017 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan 9 nanti. Berikut ialah jadual kejohanan:

Jadual kejohanan.

Bagi kejohanan kali ini, saya bertugas sebagai pegawai teknikal bersama dengan 10 lagi rakan saya yang lain. Jumlah kami ialah 5 lelaki dan 6 perempuan iaitu Afiq Dzulfiqar, Fazri Hassan, Nizamuddin Shah, Afizan Zahrul, Aisyah, Wasimah, Habibah, Eve, Fasya dan Ain. Kami semua dibahagikan supaya membantu para pegawai di acara-acara yang berbeza.

Saya bertugas bagi acara melontar peluru, merejam lembing dan melempar cakera bagi para peserta yang istimewa. Pihak penganjur menyediakan kerusi khas bagi mereka. Pada mulanya, saya pun tertanya-tanya macam mana kerusi tersebut berfungsi.

Kerusi istimewa.

Peserta dari Kedah.

Atlet kebangsaan.

Selain itu, saya juga berkesempatan untuk melihat acara lain. Saya juga dapat melihat proses pencatatan masa para pelari secara elektronik. Sebelum ini, saya hanya melihat penggunaan jam tangan dan masa diambil secara manual.

Alat pencatatan masa secara elektronik.

Pegawai yang mengendalikan pencatatan masa secara elektronik.

Para peserta acara larian.

Kejohanan kali ini sangat istimewa bagi saya. Hal ini bukan kerana terdapat elaun tetapi kerana pesertanya yang istimewa. Terdapat mereka yang kudung tangan, menggunakan kaki palsu, mempunyai penyakit cerebral palsy dan pelbagai lagi. Penyertaan mereka dalam acara ini, membawa rasa perlunya kita bersyukur dengan nikmat yang kita perolehi terutamanya dari segi cukupnya anggota badan dan cerdasnya akal fikiran.

Selain itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang kurang upaya dan tidak boleh memandang rendah terhadap mereka. Hal ini adalah kerana mereka juga ingin berjaya seperti orang lain. Saya sertakan gambar bagi acara lompat jauh yang salah seorang pesertanya ialah individu yang cacat penglihatan.

Jurulatih memberikan isyarat.

Peserta lompat jauh yang cacat penglihatan.

Peserta lompat jauh yang cacat penglihatan.

Kami juga berkesempatan berjumpa dengan Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi iaitu atlet negara yang memenangi pingat emasnya semasa Sukan Paralimpik Rio 2016.

Penulis dan rakan-rakan lain bergambar bersama Abdul Latif Romly.

Pada akhir kejohanan, saya dan rakan-rakan yang lain diberikan elaun sebagai tanda terima kasih kerana membantu menjayakan kejohanan kali ini. Alhamdulillah, sijil penghargaan juga diberikan.

Sampul surat rasmi.

Akhirnya, suatu pengalaman baharu buat saya. Selain perasaan gembira dan seronok, timbul juga perasaan insaf kerana kadang-kadang kita ego dengan apa yang kita miliki. Padahal apa yang kita punyai sebenarnya bukan milik mutlak kita, melainkan ianya adalah milik Allah. Allah boleh menarik nikmat tersebut pada bila-bila masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *