Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman ke luar negara buat kali ketiga. Alhamdulillah, saya telah diberikan peluang untuk ke Hat Yai pada 14 – 15 Oktober yang lepas. Berikut maklumat ringkas:
Tempat: Hat Yai.
Anggaran kos: 900 baht/ RM108.
Masa: 2 hari 1 malam.
Bilangan: 2 orang.
Nota: Anggaran kos hanya meliputi kos pengangkutan dan penginapan sahaja.
Pada mulanya, saya telah bergerak dari IPG Kampus Kota Bharu bersama Ust Mohd Nor pada jam 7.30 pagi dengan menaiki kereta. Kemudian kami singgah di Kota Bharu untuk sarapan pagi. Seterusnya perjalanan diteruskan sehingga ke Rantau Panjang. Di sana, kami meletakkan kereta di tempat letak kereta berbayar yang disediakan. Kami tiba di Rantau Panjang lebih kurang pada jam 9.15 pagi.
Selepas mengecop pasport di Imigresen Malaysia, kami berjalan kaki ke Imigresen Thailand, Sg Kolok yang mengambil masa lebih kurang 7 minit.
Berjalan kaki ke Imigresen Thailand, Sg Kolok.
Di imigresen Sg Kolok, kami terpaksa berbaris panjang menunggu giliran untuk mengecop pasport. Kami berada di sana lebih kurang 1 jam. Apabila ditanya dengan orang-orang yang turut beratur, suasana yang sama berlaku pada setiap pagi Jumaat. Orang berpusu-pusu masuk ke Thailand.
Kemudian, dari imigresen kami menggunakan khidmat motorsikal untuk ke tempat pertukaran wang. Kos sebanyak 50 baht seorang. Kami berjalan kaki pula untuk berjumpa dengan En Wi yang mempunyai agensi perlancongan. Dari tempat beliau kami dibawa ke terminal bas dengan kenderaannya.
Di terminal kami mengambil tiket untuk ke Hat Yai dengan harga 200 baht seorang. Pada mula tiba di terminal bas, pertama sekali yang saya cari ialah bas. Rupanya, kenderaan yang bakal kami naik ialah van persiaran. Van tersebut memuatkan seramai 10 pada masa tersebut. Perjalanan dari Sg Kolok ke Hat Yai pula mengambil masa selama 4 jam.
Van persiaran yang dinaiki untuk ke Hat Yai.
Kami tiba di terminal bas Hat Yai lebih kurang pada jam 2 petang masa Malaysia. Dari situ kami menaiki motor dengan kos 80 baht seorang untuk ke Lee Garden Plaza. Kami memang tidak membuat sebarang tempahan tempat penginapan. Jadi, kami berjalan-jalan sekitar bandar Hat Yai untuk mencari hotel yang paling murah.
Alhamdulillah, kami terjumpa dengan satu agensi pelancongan iaitu Hat Yai S.B. Travel & Tour. Kami bertanya dengan Pn Mont jika mereka boleh mencari hotel yang paling murah di bandar Hat Yai. Setelah berbincang hampir 30 minit, beliau mencadangkan Lee Garden Hotel. Namun, akibat berasa was-was dengan harga yang ditawarkan kami meminta arah untuk pergi ke hotel tersebut terlebih dahulu bagi membuat perbandingan harga.
Pn Mont yang gigih menelefon hotel-hotel.
Namun, sebelum pergi mencari hotel tersebut, kami mengisi perut dengan makan tengahari terlebih dahulu. Setelah bertanya dengan penduduk sekitar, terdapat 2 kedai muslim yang berdekatan iaitu Salma Restoran dan Hamid Restoran. Penduduk setempat mengatakan bahawa makanan di Salma Restoran lebih murah. Maka kami pun menuju ke situ.
Nasi goreng pattaya dan teo-O suam.
Selepas mengisi perut, kami meneruskan misi mencari hotel. Bagi membantu kami mencari Lee Garden Hotel, saya menggunakan aplikasi Sygic yang membolehkan pengguna mengakses kemudahan peta secara offline. Kami berjalan lebih kurang 15 minit sebenarnya dari tempat Pn Mont ke hotel.
Aplikasi Sygic.
Dalam perjalanan ke hotel tersebut, kami telah membuat survei bagi harga beberapa buat hotel yang lain seperti Park Hotel, Red Planet Hotel, Kosit Hotel, Grand Pink Hotel, Summer Hotel dan 1 lagi hotel yang saya lupa namanya. Harganya berbeza yang bermula dari 1000 baht sehingga paling murah ialah 550 baht. Namun, kami tetap menuju ke Lee Garden Hotel. Apabila di hotel tersebut, kami bertanya akan harga yang ditawarkan. Ternyata harga yang ditawarkan oleh Pn Mont adalah lebih murah 100 baht dari harga sebenar.
Jadi, kami mengambil keputusan untuk tidur di Lee Garden Hotel. Bagi pergi semula ke tempat Pn Mont, kami menaiki tuk-tuk dengan harga 20 baht seorang.
Menaiki tuk-tuk di bandar Hat Yai.
Menaiki tuk-tuk di bandar Hat Yai.
Setibanya di tempat Pn Mont, kami pun bersetuju dengan harga bilik iaitu 600 baht sahaja bagi 1 malam di Lee Garden Hotel. Kemudian, kami solat Asar dan Zuhur secara jamak ta’khir di surau yang berada dalam Lee Garden Plaza. Kondisi suraunya sangat selesa, bersih dan memuaskan. Surau tersebut berada di tingkat 5 dan boleh diaskes dengan mudah menggunakan lif.
Surau di dalam Lee Garden Plaza.
Selepas solat, kami pergi berjalan-jalan sekitar plaza untuk makan malam. Pada mulanya saya berasa agak risau, namun kelibat orang Malaysia yang ramai menghilang perasaan tersebut. Keduanya, risau juga untuk memilih makan yang akan dimakan kerana khuatir tidak halal. Walau bagaimanapun, nasihat saya apabila tiba di bandar Hat Yai, anda boleh membeli makanan yang halal di gerai-gerai makanan yang berada di sekitar Lee Garden Plaza.
Gerai sekitar Lee Garden Plaza.
Di sana kami telah membeli makanan seperti Kerabu Campur Thailand dengan harga 80 baht. Kemudian, kami telah disarankan untuk merasa nasi lemak ayam goreng dan air teh tarik di kedai yang satu lagi. Maka, kami pun ke sana. Harga bagi nasi lemak ayam goreng dan air teh tarik ialah 100 baht. Rasa kedua-dua jenis makanan memang selari dengan selera saya. Harga yang juga berpatutan.
Nasi Lemak Ayam Goreng dan Teh Tarik.
Selepas makan, kami pun berjalan kaki ke hotel. Kami telah mendaftar masuk lebih kurang pada jam 8.50 malam waktu Malaysia. Apabila memasuki bilik hotel, saya berasa sangat teruja kerana hotel yang boleh dikategorikan sebagai taraf 4 bintang boleh menawarkan harga yang sangat murah.
Pandangan luar Lee Garden Hotel.
Peringatan juga, memandangkan jenis plug di Thailand adalah tidak sama dengan di Malaysia, maka sila bawa Universal Plug Adapter. Saya pula terpaksa membeli plug di kedai dengan harga 60 baht.
Plug adapter disambung dengan pengecas telefon.
Pada hari berikutnya, saya sempat mengambil gambar suasana pagi bandar Hat Yai. Kami telah mendaftar keluar hotel pada jam 8.20 pagi waktu Malaysia. Sebelum balik, kami telah bersarapan pagi sekali lagi di Salma Restoran. Saya telah membeli nasi kerabu dengan harga 80 baht. Setelah diperhatikan semula, sekurang-kurangnya terdapat 5 buah restoran halal di sekitar bandar Hat Yai seperti Hamid Restoran, Salma Restoran, Nest House, Maliam Restoran dan Sulaiman Restoran.
Pemandangan dari tingkat 11, Lee Garden Hotel.
Pemandangan dari tingkat 11, Lee Garden Hotel.
Setelah itu, kami telah pergi ke terminal untuk pulang ke Sg Kolok dengan menaiki tuk-tuk berharga 40 baht. Perjalanan dari terminal bermula pada jam 10.15 pagi waktu Malaysia dengan harga tiket 200 baht. Saya telah di tiba Imigresen Sg Kolok lebih kurang pada jam 2 petang.
Kami kemudiannya terus mengambil semua kereta dan bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Pasir Mas untuk makan tengahari. Kemudian, singgah menunaikan solat Zuhur di Wakaf Che Yeh. Kami tiba di IPG Kampus Kota Bharu pada jam 3.30 petang.
Tuntasnya, perjalanan ini telah membuka pandangan saya dengan lebih luas lagi. Setiap tempat mempunyai sisi gelapnya. Bezanya hanya sama ada ia zahir atau tersembunyi. Ianya datang sendiri dengan mudah atau perlu dicari. Maka, terpulang kepada individu itu sendiri untuk mengambil iktibar, membentengi atau menjebakkan diri dengan kegelapan tersebut. Jika ditanya sama ada saya akan mengembara lagi, jawapannya sudah pasti. Namun, bukan seorang diri kerana saya kenal diri ini.
Terima kasih kerana membaca perkongsian perjalanan saya ini. Semoga bermanfaat.