Perkongsian kali ini berkisar lawatan yang saya ikuti bawah subjek kursus Persatuan (WAJ3131). Ringkasnya, perjalanan ini bermula dari 20 – 22 September 2016 yang meliputi beberapa tempat seperti:
1. Muzium 3D Pulau Pinang.
2. Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
3. Bukit Bendera.
4. Queensbay Mall.
5. Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia.
Sepanjang tempoh lawatan, kami telah menginap di Yayasan An-Nahdhoh Inn. Selamat membaca.
Pada 20 September 2016 iaitu hari pertama lawatan, kami telah dibahagi kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan seramai 38 orang pelajar akan menaiki bas bersama 2 orang pensyarah iaitu Pn Saroya dan Pn Nadimah. Manakala, satu lagi kumpulan iaitu saya sendiri dan Afnan Sabudin menaiki kereta berama Tn Hj Mohd Din dan En Awang. Hal ini adalah kerana kerusi dalam bas tidak dapat menampung semua bilangan guru pelatih seramai 40 orang. Lebih-lebih lagi, 2 buah kerusi sudah pun diambil oleh pemandu sebagai tempat duduk mereka untuk berehat. Jadi, saya tidak pasti mengenai perjalanan bas dari Kota Bharu ke tempat penginapan di Yayasan An-Nahdhoh Inn, Pulau Pinang. Namun, saya tetap mengikuti perkembangan perjalanan bas tersebut melalui aplikasi WhatsApp.
Pada jam 12.30 tengahari, saya telah bergerak dahulu. Apabila ditanya rakan lain, bas hanya mula bergerak pada jam hampir 2 petang. Jadi, kami yang menggunakan kereta telah menggunakan jalan Rantau Panjang untuk menuju ke Jeli. Sepanjang menggunakan jalan tersebut, kami telah berhenti di satu tempat untuk minum petang. Lebih kurang jam 5 petang kami mula bergerak dan terserempak dengan bas yang berhenti di Masjid Mukim Lalang Pepuyu. Apabila ditanya melalui aplikasi WhatsApp, mereka berhenti di situ bagi menunaikan solat Zuhur dan Asar.
Saya pula meneruskan perjalanan bersama Afnan, Hj Wan Din dan En Awang menuju Jeli. Kami masih belum menunaikan solat. Jadi, apabila tiba di Jeli, kami telah berhenti di Stesen Petronas Jeli. Jam menunjukkan lebih kurang jam 6 petang apabila kami tiba di sana. Kemudian, kami menunaikan kewajipan solat, pergi ke tandas dan membeli sedikit makanan sebagai alas perut sebelum makan malam. Seterusnya, En Awang mengisi minyak kereta dan perjalanan diteruskan lagi menuju Pulau Pinang. Hj Wan Din mencadangkan berhenti di Hentian Titiwangsa bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Perjalanan dari Jeli ke Hentian Titiwangsa adalah lebih kurang 60 kilometer.
Pada jam 7 malam, kami tiba di Hentian Titiwangsa. Saya sememangnya sudah tidak sabar untuk turun kerana mahu merasai udara yang nyaman dan menyegarkan. Setiap kali berhenti di sini, ia memang tidak pernah menghampakan. Antara perkara lain yang menarik di sini ialah pemandangan alam yang indah dan mempersenokan. Saya boleh melihat pelbagai gunung lain. Selain itu terdapat juga pokok-pokok bunga yang menghiasi tempat tersebut. Di hentian ini kami berhenti untuk minum malam, menunaikan solat dan pergi ke tandas. Sekali lagi, di sini kami berjumpa dengan bas yang membawa rakan-rakan saya yang lain.
Lebih kurang jam 8 malam, kami mula bergerak. Perjalanan hanya berbaki lebih kurang 140 kilometer. Kami terus menuju ke tempat penginapan. Apabila hampir tiba, kami beberapa kali terlepas simpang untuk masuk tempat penginapan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur setelah hampir 2 jam perjalanan, kami tiba di tempat yang ingin dituju.
Kami tiba di Yayasan An-Nahdhoh Inn lebih kurang pada jam 9.30 malam. Setelah tiba, saya selaku AJK Penginapan terus menghubungi pengurus tempat penginapan iaitu Pn Siti Katijah. Saya terus memberikan duit bagi tempat penginapan yang berjumlah RM1120. Apabila kunci diberikan, saya dan Afnan terus memeriksa semua bilik bagi memastikan semua kemudahan yang disediakan adalah berfungsi dengan sepatutnya. Kami terus membahagikan bilik yang akan diduki guru pelatih lelaki, guru pelatih perempuan dan para pensyarah.
Sementara menunggu rakan yang lain sampai, kami pergi makan malam di restoran yang terdapat dalam kawasan Yayasan An-Nahdhoh dan hanya terletak bersebelahan dengan tempat penginapan. Kami semua makan makanan yang sama iaitu nasi goreng kampung. Di meja makan, kami berbual-bual. Apabila makanan yang ditempah siap dimasak dan dihidangkan, saya berasa begitu selera. Penampilan nasi goreng yang menarik dan kuantiti nasi yang banyak. Rasanya juga memenuhi tahap selera saya. Jika ingin diberikan penilaian, saya akan beri 5 bintang penuh.
Setelah makan, saya berehat di dalam bilik sementera menunggu rakan yang lain tiba. Kami sentiasa berhubung melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lokasi terkini bas supaya mudah saya dan Afnan untuk menyambut mereka dan memberikan kunci bilik mengikut kumpulan masing-masing. Hampir 3 jam menunggu, akhirnya bas pun tiba di tempat penginapan pada jam 1 pagi. Maka, saya pun terus turun dan memberikan kunci bilik. Sepatutnya pada malam tersebut akan diadakan aktiviti post mortem. Namun, oleh kerana mereka pun tiba lewat, maka ia dibatalkan. Kami dimaklumkan bahawa perlu bersiap awal pada esok hari kerana bas perlu melalui Jambatan Pulau Pinang yang sesak dengan kenderaan yang ingin menuju ke tempat kerja masing-masing. Jadi, kami menetapkan bahawa paling lewat pada jam 7 pagi esok, bas sudah perlu bergerak.
Pada 21 September 2016 iaitu hari kedua lawatan, program bermula seawal jam 7 pagi. Kami semua telah bangun pada jam 6 pagi bagi membuat persiapan diri. Namun, bas hanya dapat bergerak pada jam 7.15 pagi kerana terdapat beberapa orang guru pelatih yang lewat. Jadi, kami terus menuju Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Perjalanan tersebut memakan masa hampir 40 minit kerana kesesakan lalu lintas yang teruk. Namun, saya tetap menikmati perjalanan tersebut kerana sudah hampir 3 tahun saya tidak ke Pulau Pinang. Sewaktu bas berjalan melalui jambatan Pulau Pinang, saya melihat pemandangan laut dan berbual-bual melalui radio dengan rakan-rakan di Pulau Pinang.
Sebelum tiba di tempat lawatan, kami telah berhenti untuk bersarapan pagi terlebih dahulu. Kami mula bergerak pada jam 7.45 pagi menuju ke Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Malangnya, kami telah sesat kerana lokasi sebenar tempat tersebut tidak dapat dipastikan. Wakil AJK Perhubungan telah menelefon beberapa kali pihak CAP bagi mengetahui lokasi sebenar. Solusinya, kami menunggu wakil CAP untuk menjemput kami di Restoran KFC yang berdekatan dengan tempat mereka. Lebih kurang jam 8.30 pagi, kami pun tiba di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang. 30 minit lewat daripada jadual perancangan yang telah dibuat. Apabila tiba di sana, kami telah disambut oleh pihak CAP dengan mesra.
Aktiviti pertama di CAP ialah kami diberikan penerangan dari Prof. Dr. Sultan Ismail berkaitan pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Kami sangat terhibur dengan pengajaran beliau dan ia memberikan pengalaman yang baharu mengenai cara untuk menarik minat pelajar di dalam kelas. Prof telah menunjukkan beberapa ujikaji Sains dengan cara yang paling mudah difahami dan melibatkan kos yang sangat murah. Selepas itu, kami telah dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan. 1 kumpulan akan pergi melihat kebun organik CAP yang berada di belakang pejabat dan 1 lagi kumpulan akan mendengar taklimat berkaitan makanan dan produk-produk yang terdapat di pasaran.
Sebelum itu, pihak CAP telah menjamu kami dengan sedikit makan ringan seperti karipap dan air Tea-O suam. Sebelum menamatkan lawatan di CAP, kami telah mendengar sekali lagi taklimat berkaitan CAP secara ringkasnya. Kemudian, kami diberikan peluang untuk mengajukan soalan kepada pihak CAP. Soalan yang ditanya adalah seperti sumber kewangan CAP, bidang yang diawasi oleh CAP dan lain-lain lagi.
Selain itu saya juga berasa bertuah kerana dapat berjumpa dengan Presiden CAP iaitu S. M. Mohamed Idris. Sebelum pulang, kami telah bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenang-kenangan. Kami semua telah bergambar di pintu masuk utama ke Pejabat CAP. Selepas itu, kami terus bergerak ke Muzium 3D Pulau Pinang pada jam 11.45 pagi. Kami tiba tempat tersebut 30 minit kemudian. Bagi memasuki muzium kami perlu membayar RM10. Apabila di dalamnya saya terpersona dengan lukisan yang disajikan kepada para pengunjung. Kami semua menghabiskan masa lebih kurang 1 jam 30 minit di sana.
Sepanjang berada di Muzium 3D saya memang jarang mengambil gambar individu. Saya lebih gemar mengambil gambar semua lukisan yang terdapat di muzium tersebut. Kemungkinan kerana saya malu berhadapan dengan kamera. Namun, terdapat satu lukisan yang paling menarik perhatian saya sehingga saya meminta rakan saya mengambil gambar saya dengan lukisan tersebut. Berdasarkan penerangan yang disediakan pihak muzium, lukisan yang saya bergambar menceritakan seorang pahlawan purba di zaman Mesir Purba. Terdapat juga gambar mumia.
Pada jam 1.30 petang, kami bergerak dari muzium untuk makan tengahari. Bas telah berhenti di satu kedai makan di tepi jalan. Saya pun tidak pasti nama kedai tersebut. Semasa menjamu selera, tiba-tiba hujan turun. Jika mengikut perancangan, selapas itu kami akan menuju ke Bukit Bendera. Namun disebabkan hujan turun, kami berbincang untuk menukar haluan atau destinasi yang akan dituju. Akhirnya, kami semua bersetuju untuk pergi ke Queensbay Mall, Pulau Pinang.
Kami tiba di Queensbay Mall, Pulau Pinang lebih kurang pada jam 2.30 petang. Kami diberikan masa sehingga jam 7 malam untuk berada di tempat tersebut. Pada mulanya, saya dan rakan pergi mencari surau terlebih dahulu. Setelah bertanya dengan pengawal, surau terletak di tingkat 5. Maka, kami menunaikan solat Zuhur dan Asar terlebih dahulu. Selepas solat, kami berpecah kepada beberapa kumpulan. Terdapat mereka yang ingin membeli belah, menonton wayang dan lain-lain. Saya pula lebih gemar untuk berjalan secara sendirian. Saya berjalan dari kedai ke kedai pada setiap tingkat. Saya hanya melihat barang yang dijual dan tingkah laku individu di sekeliling saya.
Lebih kurang jam 5 petang, En Awang memaklumkan dalam WhatsApp persatuan bahawa beliau dan Hj Wan Din sedang minum air teh tarik madu di salah satu kedai berdekatan atau di dalam Queensbay Mall. Maka, saya dan beberapa rakan lain bertanya lokasi kedai tersebut. En Awang membuat tawaran sekiranya kami berjaya mencari mereka, maka beliau akan belanja kami minum secara percuma. Pencarian hanya diberikan masa selama 15 minit. Namun, tiada siapa pun yang berjaya. Saya mengambil keputusan untuk mencari di luar. Akhirnya, berjaya juga berjumpa dengan En Awang dan Hj Wan Din tetapi sayangnya tempoh masa yang diberikan telah tamat. Jadi, ganjaran pun tidak diberikan.
Setelah hampir jam 7 malam, kami semua sudah menunggu bas di luar pasar raya. Bas tiba lewat 30 minit kerana kesesakan lalu lintas. Apabila bas tiba, kami semua terus bergerak menuju rumah Ain iaitu salah seorang rakan kami. Keluarga telah sudi untuk menjamu kami dengan hidangan makan malam. Kami tiba di Rumah Ain lebih kurang pada jam 8.30 malam. Setibanya kami di sana, ahli keluarga Ain telah menunggu kedatangan kami. Layanan mereka sangat mesra. Kami dihidangkan dengan nasi tomato, mee goreng, agar-agar dan air sirap. Pada jam 9.30 malam, kebanyakan kami telah menaiki bas bagi pulang ke tempat penginapan. Namun terdapat beberapa orang masih menunggu di rumah Ain bagi menunggu En Awang. Semasa menunggu beliau, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Kemudian, En Awang sudah beberapa kali meminta lokasi rumah Ain namun beliau masih belum berjaya sampai ke rumah Ain. Solusinya, beliau tunggu di suatu kedai dan kami pergi menjemput En Awang.
Lebih kurang pada jam 10 malam, ayah kepada Ain pun tiba di rumah. Beliau pulang dari masjid dan sepatutnya dapat pulang lebih awal. Namun, disebabkan hujan lebat dan beliau hanya menaiki motorsikal ke masjid, maka beliau terpaksa menunggu sehingga hujan reda sebelum boleh pulang. Sementara itu, En Awang menyuruh kami untuk memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp bahawa pada malam tersebut akan diadakan perjumpaan bagi post mortem segala program yang telah dijalankan. Pada jam 10.40 malam, kami bergerak pulang menuju ke tempat penginapan. Lebih kurang jam 11.45 malam, kami tiba di Yayasan An-Nahdho Inn.
20 minit kemudian, kami semua diminta berkumpul di dewan yang berdekatan bagi sesi perbincangan. Sesi ini bermula dengan ucapan dari pengerusi lawatan iaitu Afnan dan diikuti dengan refleksi dari setiap unit berkaitan tempat yang telah dilawati. Setelah itu, En Awang sendiri telah memberikan beberapa teguran dan peringatan. Antaranya beliau mengingatkan bahawa supaya sentiasa berbincangan atau memaklumkan sebarang pertukaran program yang berbeza dari jadual asal yang telah dipersetujui. Hal ini adalah bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati atau pensyarah boleh memberikan sebarang nasihat berkaitan keputusan yang ingin diambil.
Pada 22 September 2016 iaitu hari terakhir lawatan, kami telah bergerak dari tempat penginapan pada jam 8.30 pagi. Kami semua telah mendaftar keluar pada masa yang sama. Semua barang kepunyaan kami dipastikan dibawa pulang. Awalnya, kami berhenti untuk sarapan pagi sebelum menuju ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Pulau Pinang. Lebih kurang jam 9.30 pagi kami tiba di tempat yang ingin dituju. Di sana kami telah disambut oleh pihak muzium dan diberikan penerangan tentang pembahagian bilik pameran yang terdapat di dalam muzium tersebut. Tempat pertama yang saya lihat ialah lukisan berkaitan haiwan atau serangga kecil. Kemudian, di tingkat atas pula terdapat pameran berkaitan arkeologi, penggalian minyak, angkasa lepas dan pelbagai lagi. Kami semua berada di muzium ini sehingga jam 11.30 pagi.
Seterusnya, kami membuat perubahan dalam jadual perjalanan. Sepatutnya kami menuju ke pasar raya di Kedah. Namun, kami bersepakat mahu pergi ke Bukit Bendera. Saya berasa sangat teruja untuk pergi ke sana. Hal ini adalah kerana sudah hampir 16 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke Bukit Bendera. Setibanya kami di sana, saya bersyukur kerana keadaan pelawat yang tidak terlalu ramai. Saya dan rakan yang lain memberikan kad pengenalan dan kad pelajar kepada wakil kami untuk mendapatkan pengurangan harga tiket. Setelah tiket dibeli, kami semua beratur untuk menaik tren menuju ke puncak Bukit Bendera. Semasa di dalam tren, saya melihat dengan teliti pemandangan di sekitar trek keretapi. Terdapat pelbagai kehidupan flora dan fauna.
Apabila tiba di puncak, keadaan angina sangat nyaman dan menyegarkan. Kabus tebal menyambut kedatangan kami. Dari puncak saya dapat melihat seluruh Pulau Pinang. Jaraknya sejauh mata memandang dan sangat mengujakan. Selain itu, saya juga membeli satu jagung susu yang dijual yang berharga RM2.50 sahaja. Saya terus berjalan menuju ke puncak dengan berjalan kaki secara berseorangan. Perjalanan dari tempat keretapi berhenti ke puncak utama Bukit Bendera hanya memakan masa 10 minit. Terdapat sebuah masjid yang dipanggil Masjid Bukit Bendera di atas puncak tersebut.
Pada jam 1.30 petang, kami semua bergerak turun dari Bukit Bendera. Dalam perjalanan turun, terdapat beberapa rakan yang merakam apa yang berlaku. Beberapa orang pelancong luar negara turut menikmati perjalanan turun tersebut. Setibanya di bawah, kami semua bergambar. Selepas itu, kami menunggu bas untuk pergi ke tempat yang seterusnya. Sementera menunggu bas, saya dan beberapa rakan yang lain pergi menunaikan solat Zuhur dan Asar. Setelah selesai solat, kami perlu berjalan turun selama 10 minit ke tempat bas berhenti. Pada jam 2.30 petang, kami semua bergerak pulang ke IPG Kampus Kota Bharu. Sebelum pulang ke Kelantan. Kami berhenti sekali lagi di kedai Jeruk Madu Pak Ali, Kepala Batas. Apabila berhenti di sana, saya pergi mengisi perut dengan makan tengahari terlebih dahulu di kedai yang berada berdekatan dengan kedai Jeruk Madu Pak Ali.
Di dalam kedai tersebut terdapat pelbagai jenis jeruk yang menyelerakan. Sayangnya, saya tidak dapat membelinya kerana En Awang telah pun tiba di situ. Beliau meminta kami untuk segera bersiap untuk pulang. Seperti cara saya pergi ke Pulau Pinang iaitu dengan menaiki kereta, maka cara yang sama bagi saya pulang ke Kelantan. Saya dan Afnan Sabuding menaiki kereta bersama En Awang dan Hj Wan Din untuk pulang ke IPG Kampus Kota Bharu.
Kami mula bergerak dari Kedai Jeruk Pak Ali lebih kurang pada jam 3.30 petang. Seterusnya kami terus menuju ke Hentian Titiwangsa. Sebelum tiba di sana, kami telah berhenti di Baling untuk minum petang. Kami tiba di Hentian Titiwangsa lebih kurang pada jam 9 malam. Kami minum malam dan menunaikan solat sebelum meneruskan perjalanan. Pada jam 11 malam, kami berhenti pula di Jeli untuk minum malam. Kami makan roti canai dan minum air bagi mengurangkan rasa mengantuk. Sebelum tiba IPG Kampus Kota Bharu, sekali lagi kami telah berhenti di kedai roti tempayan di Kota Bharu pada jam 12.30 pagi.
Akhirnya, kami tiba di IPG Kampus Kota Bharu pada jam lebih kurang 1.30 pagi. Sepanjang perjalanan program lawatan iaitu selama 3 hari 2 malam ini terdapat perlbagai perkara yang saya dapat pelajari. Saya juga dapat mengenal dengan lebih dekat 4 orang pensyarah saya iaitu Pn Sarayo, Pn Nadimah, En Awang dan Hj Wan Din. Saya berharap dapat mempunyai peluang untuk pergi berjalan ke luar atau mengembara lagi.