Alhamdulillah pada 31 Ogos 2012, kita menyambut merdeka yang ke-55. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana dikurniakankan keamanan hidup di negara ini. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang patut kita ambil perhatian iaitu berkenaan akhlak masyarakat pada hari ini.
Silalah melihat gambar-gambar yang berkaitan dengan sambutan Merdeka ke-55. Sila klik di sini.
Untuk pengetahuan semua, saya telah terlibat dengan sambutan kemerdekaan kali ke-55. Saya dan rakan-rakan yang lain terlibat dalam ‘Human Graphics Formation’. Seramai lebih kurang 2000 orang pelatih guru daripada seluruh IPG juga terlibat dengan program ini. Apabila tibanya hari sambutan kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 12 di Stadium Nasional Bukit Jalil, saya berpendapat kita masih lagi belum merdeka sepenuhnya.
Kenapa saya menyatakan sedemikian?
1. Berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan (kebanyakannya adalah umat Islam sendiri) yang sangat membimbangkan. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakannya mereka berpakaian tidak menutup aurat. Jika menutup aurat pun, bukanlah menutup aurat yang dianjurkan Islam. Akhlak yang ditunjukkan sebahagian umat Islam juga tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.
2. Terlebihnya hiburan berbentuk kedunian. Saya berasa seolah-olah kemerdekaan kita hanya dapat dizahirkan dalam bentuk hiburan semata-mata. Hal ini adalah kerana di Stadium Nasional Bukit Jalil terdapat 4 pentas hiburan. Pentas-pentas tersebut digunakan untuk melakukan persembahan nyanyian dan persembahan muzik. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa individu atau kumpulan yang saya anggap sebagai artis atau pemuzik jalanan yang turut memberi hiburan kepada pengunjung yang hadir.
3. Terlebihnya perhatian kepada hiburan berbanding keperluan utama umat Islam iaitu keperluan untuk menunaikan solat. Saya dapati pihak penganjur boleh menyediakan 4 pentas hiburan tetapi tidak dapat menyediakan tempat solat yang mencukupi untuk umat Islam. Hal ini adalah dianggarkan lebih kurang seramai 100 ribu orang hadir ke sambutan Merdeka ke-55 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya boleh katakan bahawa ratio orang beragama Islam dengan orang yang tidak beragama Islam ialah 7:3. Dengan bilangan umat Islam yang sebegitu ramai, sepatutnya ruang solat yang disediakan dapat memuatkan sekurang-kurangnya seramai 10 ribu orang pada satu-satu masa. Tetapi malangnya, tempat solat yang terdapat di stadium hanya dapat memuatkan tidak lebih daripada 500 orang pada satu-satu masa.
Jadi, apakah sebenarnya erti kemerdekaan bagi kita setelah 55 tahun kita merdeka? Apabila kita membaca kembali sejarah, jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, mengapa Rasulullah berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Hal ini bermakna, kemerdekaan yang sebenar ialah:
1. Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya. Kebebasan tadi pula mestilah dibatasi oleh hukum Allah bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
2. Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia sama ada agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh syariat.
3. Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan, dan menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.
PANDANGAN SAYA
Sepanjang terlibat dengan program ini, terdapat kebimbangan dalam hati saya berkaitan bakal-bakal guru yang bakal mendidik anak-anak kita di masa depan. Hal ini adalah kerana terdapat sebilangan kecil daripada bakal-bakal guru yang mempunyai akhlak yang kurang baik dan tidak mecerminkan seorang guru.
Jadi, saya berharap agar rakan-rakan guru sekalian, kita mestilah berakhlak dengan akhlak yang mulia. Hal ini adalah kerana kita sebagai guru akan menjadi contoh kepada murid-murid kita. Kita mesti ingat bahawa tugas seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagaimana terdapat satu ungkapan:
“Seorang doktor apabila melakukan kesalahan, dia mungkin membunuh salah seorang pesakitnya. Seorang arkitek apabila melakukan kesilapan, dia mungkin menyebabkan runtuhnya sesebuah bangunan yang menyebabkan kematian beberapa puluh, ratus atau ribu orang. Tetapi apabila seorang guru melakukan kesilapan, dia mungkin boleh membunuh satu generasi.“
Sebagai seorang guru, janganlah kita menganggap pekerjaan sebagai seorang guru adalah sebuah pekerjaan yang remeh-temah. Hal ini adalah kerana peranan kita sangat besar dalam mendidik anak bangsa.
PENUTUP
Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud: “Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak“
Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta’ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.
Silalah melihat gambar-gambar yang berkaitan dengan sambutan Merdeka ke-55. Sila klik di sini.
One thought on “Merdeka ke-55?”